Gempa bumi: Pelajar Malaysia di Aceh selamat
2011/09/06JAKARTA: Semua pelajar Malaysia di Aceh dan Medan selamat daripada bencana gempa bumi pada magnitud 6.7 yang melanda wilayah Pantai Barat, Selatan Aceh, awal hari ini.
Sehingga jam 1.30 tengah hari ini, pihak berkuasa melaporkan bahawa 10 mangsa meninggal dunia dalam kejadian gempa pada jam 12.55 pagi waktu tempatan itu.
Atase Pendidikan, Pelajaran Malaysia (sebelum ini dikenali Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia, Ludinata Misnun, berkata gempa itu tidak dirasakan pelajar Malaysia di Aceh kerana kawasan penempatan mereka berada jauh di bahagian Utara Aceh.
"Semua pelajar Malaysia seramai 176 orang di Aceh dan 612 orang pelajar Malaysia di Medan berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan di sini.
Ludinata berkata, pihaknya mengingatkan pelajar terbabit supaya sentiasa menyiapkan diri dengan kemungkinan terpaksa dipindahkan jika berlaku gempa susulan yang lebih besar kemudian.
Mereka juga diminta sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa tempatan dan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan segera keluar rumah ke kawasan lapang jika berlaku lagi gempa bumi kerana kejadian itu boleh mengakibatkan bangunan runtuh.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, berkata gempa bumi awal hari ini itu berpusat di darat di kedudukan 59 kilometer Timur Laut Singkil Baru, Aceh, di kedalaman 78 kilometer.
Ia tidak berpotensi tsunami, namun gegarannya dapat dirasakan hingga ke Kota Medan dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - BERNAMA
Credit: Berita Harian





0 comments:
Post a Comment